KUALA LUMPUR: MCA memperkenalkan 50 peratus muka baharu daripada 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 17 calon daripada 44 kerusi Parlimen adalah yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya termasuk tujuh wakil wanita dan dua calon bawah 30 tahun.
“Di peringkat DUN, kami memperkenal 18 muka baharu daripada 26 kerusi dipertandingkan. Lima daripadanya adalah wakil wanita.
“Ini adalah satu komposisi seimbang. 50 peratus pencalonan adalah wajah baharu yang berganding bahu dengan calon lain bagi memastikan kerja keras bersama parti komponen lain untuk meraih sokongan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pemilihan bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai kembali merebut kerusi Parlimen Bentong adalah sebagai menyahut pemintaan masyarakat di kawasan tersebut.
“Pelbagai isu berbangkit yang menjadi punca kemarahan penduduk Bentong sehingga mereka meminta Tiong Lai kembali bertanding,” katanya.
Tambah Menteri Pengangkutan itu, parti tersebut yakin dengan pemilihan Wong Yin Ting bagi memberi saingan di kerusi Parlimen Seremban yang kini disandang Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke.
“Kami bersetuju meletakkan seorang pendidik yang merupakan wakil wanita berkelulusan dari Universiti Malaya. Yin Ting telah 43 tahun aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan seorang pengetua di sekolah swasta.
“Dia adalah anak watan Seremban dan fasih dalam tiga bahasa. Kami yakin dengan pemilihan ini dan dia juga berani menyahut cabaran dengan hati terbuka,” katanya. – UTUSAN