KULIM: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap di tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai yang terlibat dalam kebakaran di Taman Semarak, pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.13 pagi itu, seorang mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, kebakaran melibatkan sebuah kedai yang menjual buah di tingkat bawah.
Menurutnya ketika dihubungi, tingkat dua bangunan itu dihuni sebuah keluarga yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 24 hingga 64 tahun manakala tiada penghuni di tingkat tiga bangunan terbabit.
Ujarnya, bomba terpaksa menggunakan tangga jentera untuk mengeluarkan lima mangsa terbabit ekoran keadaan kedai tingkat bawah yang terbakar teruk itu menyebabkan asap terlalu tebal sehingga memenuhi ruangan bangunan.
Katanya, operasi menyelamat itu turut dibantu anggota BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Penanti, Pulau Pinang selain Pasukan Bomba Sukarela Lunas dan Kulim.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya dan tiada kecederaan parah dilaporkan dalam kebakaran itu, namun kesemua lima mangsa terbabit dibawa ke hospital kerana faktor usia dan sesak nafas. Punca sebenar serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN