PUCHONG: Parlimen Puchong sah menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon yang bertanding adalah penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas); Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (BN) dan Chew Jyh Gang (PN).
Pegawai Pengurus P103 Puchong, Mohd. Zulkurnain Che Ali mengumumkan keputusan tersebut selepas selesai menyemak kertas-kertas penamaan calon.
“Saya berpuas hati setelah selesai menyemak borang penamaan calon dan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya di Pusat Penamaan Calon (PPC) P103 Puchong di Dewan Serbaguna Puchong Indah di sini hari ini.
Terdahulu dianggarkan seramai 1,000 penyokong membabitkan semua parti mula berkumpul di sebuah padang berhampiran PPC seawal pukul 8 pagi bagi memberi sokongan terhadap calon mereka.
Anggota polis turut mengawal ketat di sekitar kawasan PPC bagi mengelak kejadian yang tidak diingini antara penyokong-penyokong parti politik.
Parlimen Puchong merupakan kubu kuat DAP yang ditandingi Gobind Singh Deo sejak tiga penggal yang lalu pada 2008.
Pada PRU14, Gobind menang dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (PAS) dengan 10,255 undi.
Bagaimanapun, pada PRU15, DAP melakukan perubahan dengan meletakkan Bee Yin mewakili PH di Parlimen Puchong menggantikan Gobind yang bertukar ke Parlimen Damansara. – UTUSAN