30 ahli Parlimen BN patut sokong PN - Pintar

30 ahli Parlimen BN patut sokong PN – Pintar

MUHYIDDIN Yassin ketika sidang akhbar di kediamannya berkenaan isu pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10. - FB/MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diminta memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai pilihan terbaik untuk bersama membentuk kerajaan bersandarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, langkah itu sebagai menghormati mandat terbesar rakyat yang ingin melihat kerajaan stabil demi memperjuangkan hak-hak kelompok majoriti Melayu-Islam, namun pada masa sama turut mengangkat hak-hak kaum lain di negara ini.

Kata beliau, ia juga sebagai menyanjungi kesedian parti-parti Sabah dan Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah pun memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan secara bersama.

Pada masa sama, pihaknya menggesa ahli-ahli Parlimen UMNO iaitu 26 dalam kalangan 30 ahli Parlimen BN itu untuk konsisten dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengambil sikap berkecuali di waktu kritikal begini adalah memberi muka kepada kedua-duanya selain merupakan satu sikap tidak bertanggungjawab kepada negara.

“Oleh yang demikian, Pintar menggesa 26 ahli-ahli Dewan Rakyat UMNO khususnya memberikan sokongan padu kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10 dan turut sama dengan PN bagi membentuk kerajaan yang stabil dan kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Roslan berkata, memilih untuk bersikap berkecuali sebenarnya adalah bukan pilihan buat masa ini kerana rakyat dan negara memerlukan kerajaan dibentuk segera untuk melicinkan pentadbiran dan urusan yang perlu dilakukan.

“Kita tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin parti Melayu terus bertindak sepi, merajuk, tidak mahu bekerjasama dan sebagainya.

“Cukuplah dengan apa yang berlaku selepas PRU14 lalu yang menyebabkan rakyat bangkit untuk mempertahankan hak mereka yang cuba dirobek ketika mana terdapatnya pemimpin yang bercakaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, jika para pemimpin ini masih mengambil sikap berkecuali, maka kebimbangan yang dinyatakan Tun Abdul Hamid Mohamad akan menjadi kenyataan di mana pemimpin-pemimpin UMNO dilihat tidak lagi mempedulikan kepentingan orang Melayu.

Sebaliknya, mereka hanya memikirkan kepentingan politik sempit sendiri sedangkan, dengan menjaga kepentingan orang-orang Melayu inilah merupakan kunci kepada kestabilan negara sejak merdeka.

Terdahulu, dalam kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, kesemua 30 ahli Parlimen daripada BN akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu, esok

Proses ini bertujuan agar Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya