KLUANG: Tiga sahabat maut apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah van di Kilometer (KM) 15, Jalan Kluang-Teck Wah Hing, dekat sini pukul 4.29 petang tadi.
Dua maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang cedera parah meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira tersebut dari arah Kluang ke Renggam hilang kawalan lalu masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van.
“Akibat dari perlanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang Proton Wira mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penumpang hadapan Proton Wira meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (HEBHK) Kluang,” katanya ketika dihuhungi.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Muhammad Haziq Haiqal Mohd. Faizal, 20, iaitu pemandu kereta akibat parah di bahagian kepala.
“Penumpang hadapan, Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21, yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di HEBHK semasa menerima rawatan dan penumpang belakang, Muhammad Khairil Rosli, 17, yang parah di bahagian kepala turut meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Seorang lagi, penumpang belakang, Muhd. Haziq Kamarul Azhar, 17, kini menerima rawatan di hospital yang sama akibat patah kaki kiri.
“Pemandu van berusia 43 tahun bersama isterinya, 42, dan dua anak mereka masing-masing berusia 15 dan 11 tahun cedera dan menerima rawatan di HEBHK.
“Pemandu dan semua penumpang Proton Wira bekerja sebagai tukang gunting rambut di Kluang,” katanya.
Ketika kejadian cuaca hujan renyai dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN