PETALING JAYA: Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menjelang hari kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.
Sepanjang tempoh berkenaan, dua individu turut ditahan di Kedah dan Pahang.
Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka berhubung pelbagai kesalahan masing-masing satu di Kedah, Kuala Lumpur, dan Pahang.
Kata beliau, bagi kes di Kedah, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan terhadap seorang individu selepas merosakkan dengan perbuatan membakar bendera dan menoreh khemah Perikatan Nasional menggunakan senjata tajam di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah.
“Di Pahang pula, seorang lagi ditahan di lampu isyarat dekat simpang masuk ke bandar Triang kerana merosakkan papan tanda dan poster Pakatan Harapan. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hazani berkata, kertas siasatan di Kuala Lumpur dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
“Dalam tempoh sama juga, sebanyak 81 ceramah dianjurkan tanpa permit dikesan di seluruh negara manakala 814 ceramah telah diberikan kebenaran.
“Jumlah ceramah tanpa permit tertinggi dicatatkan di Negeri Sembilan sebanyak 45 dan Perak, 16, manakala jumlah permit ceramah dikeluarkan paling tinggi di Sabah sebanyak 157, diikuti Perak (109) dan Johor (104),” jelasnya. – UTUSAN