KUALA SELANGOR: Seramai 29,000 anggota bomba dalam tahap kesiapsiagaan tinggi menghadapi banjir terutama ketika hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesiapsiagaan itu bukan hanya melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), malah dibantu pasukan bomba bantuan dan sukarela.
“Anggota dan aset bomba sudah diatur gerak dan sentiasa bersiap siaga membantu terutama dalam situasi kecemasan.
“Kesiapsiagaan itu sudah bermula awal dan kita meneliti sebarang kebarangkalian dalam semua aspek termasuk laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia),” katanya ketika ditemui pemberita pada program Kenduri Rakyat di Kampung Bunut Cherakah di sini, hari ini.
Jelas beliau, cuti pegawai dan anggota turut dibekukan bagi persediaan operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir.
“Selain itu, waktu operasi penugasan dilanjutkan daripada 12 jam kepada 24 jam. Pasukan Gerak Cepat (Red Team) turut digerakkan bagi memantapkan persiapan khidmat kebombaan dan penyelamatan sedia ada,” ujarnya.
Tambah Reezal Merican, pihaknya turut menumpukan aspek logistik kenderaan dan jentera pelbagai fungsi sama ada darat, air dan udara.
“Kita sudah memastikan semuanya berada dalam keadaan baik dan bersedia digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.
“Penambahan jentera dan bot bagi perolehan darurat juga secara tidak langsung membantu kesiapsiagaan bomba,” katanya. –UTUSAN