PUTRAJAYA: Seramai 269 orang pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikerahkan untuk mengawal proses penamaan calon bagi Parlimen Putrajaya (P125), esok.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pegawai dan anggota ditempatkan di kawasan sekitar Pusat Penamaan Calon (PPC) di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menutup beberapa laluan ke kompleks kejiranan berkenaan bemula pukul 8 pagi sehingga proses penamaan calon selesai.
“Antara laluan termasuk Jalan Presint 9C bermula lampu isyarat Petronas 9D sehingga lampu isyarat Jalan P9C/1 (Fasa 8), Jalan Presint P9A bermula dari Petronas P9A hingga Jalan Presint P9C dan Jalan Presint 9F bermula SKPP9(1) / Klinik Kesihatan P9 hingga Jalan Presint P9C.
“Pengguna jalan raya yang terjejas terutama penghuni Fasa 10 dan Fasa 11 Presint 9, dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif ke destinasi masing-masing dan patuh kepada arahan polis yang bertugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, semua calon yang bertanding diminta mematuhi segala undang-undang dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh mengganggu-gugat kelancaran proses pada hari penamaan calon.
A Asmadi berkata, calon dan wakil calon dikehendaki mengawal emosi penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap peyokong parti lain.
Menurutnya, calon dan wakil juga tidak dibenarkan mengadakan sebarang perarakkan atau konvoi kenderaan untuk mempamerkan kehebatan parti.
“Penyokong yang mengiring calon juga dilarang sama sekali menunggu atau berada di dalam zon 50 meter dari sempadan PPC yang ditetapkan.
“Penggunaan alat pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk penggunaan suara dari kenderaan juga adalah tidak dibenarkan semasa berada di PPC,” katanya.
Katanya, penyokong turut dinasihatkan supaya mengamalkan konsep berkempen secara sihat dan penuh kematangan demi menjaga keharmonian penduduk Putrajaya. – UTUSAN