PETALING JAYA: Dua individu disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas bertindak mendedahkan kertas undi pos dengan dipercayai bersiaran secara langsung di media sosial semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, laporan polis dibuat seorang pegawai polis selepas melihat satu hantaran berkaitan perkara itu di Twitter.
“Pengadu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melayari internet dan melihat gambar tangkap layar video seorang pengguna TikTok menggunakan nama ‘sifulife’.
“Gambar tangkap layar itu memaparkan seorang individu disyaki menjalankan proses undi pos sambil bersiaran di TikTok dan gambar itu kemudian dikongsikan di Twitter atas nama @injang_nation,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Hazani, pengadu turut mengesan satu lagi perbuatan sama oleh seorang individu lain yang mendedahkan kandungan kertas undi pos melalui akaun Tiktok ‘arielprimepicture_2nd’ termasuk nombor kertas undi.
“Kedua-dua kes disiasat oleh Polis Daerah Wangsa Maju mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 5(6) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” jelasnya. – UTUSAN