1,850 pegawai, anggota polis Sepang undi awal

1,850 pegawai, anggota polis Sepang undi awal

SUASANA ketika proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 1,850 petugas dari dua ibu pejabat polis daerah (IPD) di kerusi Sepang terlibat dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sepanjang hari ini.

Menurut Pegawai Pengurus PRU15 P113 Sepang, Datuk Abdul Hamid Hussain, mereka terlibat dari IPD Sepang dan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana sebahagiannya sudah mengundi pos minggu lalu.

Beliau yang ditemui pemberita turut menjangkakan peratusan pengundi awal kali ini boleh mencecah lebih 70 peratus kerana cuaca agak baik dan ramai petugas dari dua IPD itu datang awal pukul 7 pagi tadi.

Utusan Malaysia difahamkan seramai 19 anggota dan pegawai polis dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil mengundi secara pos daripada keseluruhan 207 pemilih, manakala hanya tujuh pemilih dengan lima orang daripada petugas dari DUN Tanjung Sepat sudah pun menunaikan tanggungjawab secara pengundian pos minggu lalu.

Keadaan tersebut menyaksikan saluran untuk pengundi terbabit ditutup seawal pukul 12 tengah hari kerana bilangan yang hadir bagi pengundian awal hari ini hanya dua orang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman berkata, seramai 921 anggota dan pegawai dari IPD KLIA terlibat dalam pengundian untuk PRU15.

Ini merupakan kali kedua petugas IPD tersebut yang merupakan daerah pentadbiran polis ke-156 diwujudkan di negara ini pada 2017 lalu itu turun mengundi untuk proses pilihan raya. 

IPD berkenaan hanya mengandungi tiga buah balai polis iaitu di Aeropolis KLIA, KLIA1 dan KLIA2 selain dua lagi pondok polis masing-masing di kedua-dua terminal udara tersebut.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff pula yang ditemui berkata, seramai 1,636 anggota dan pegawai IPD tersebut mengundi pada kali ini.

IPD itu mengandungi tujuh balai dalam tiga kawasan DUN termasuk Sungai Pelek antaranya ialah Sepang, Dengkil, Bandar Baru Salak Tinggi, Cyberjaya dan Dato’ Abu Bakar Baginda.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa calon yang bertanding turut hadir menyantuni pengundi antaranya Anuar Basiran (Barisan Nasional) yang tiba di pusat itu pukul 9.35 pagi selain Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dari Parti Pejuang Tanah Air yang paling awal datang pukul 8.30 pagi diikuti Datuk Seri Rina Mohd. Harun (Perikatan Nasional).

Tidak ketinggalan ialah Aiman Athirah dari Pakatan Harapan dan calon Bebas, Muniswaran Muthiah yang tiba beberapa minit kemudian sebelum beredar selepas tinjauan dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya