171 calon PN bersih, berintegriti - Muhyiddin

171 calon PN bersih, berintegriti – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin berucap pada majlis pelancaran tawaran PN di Shah Alam, Selangor. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 171 calon yang ditampilkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terdiri daripada mereka yang bersih dan berintegriti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana semua calon gabungan itu bukan sahaja membuat aku janji anti rasuah, tetapi mereka juga menjalani tapisan yang ketat.

Beliau berkata, jika mereka didapati ada kes jenayah, sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah atas kesalahan rasuah, mereka tidak dibenarkan bertanding.

“Ini standard atau benchmark yang ditetapkan oleh PN.

“Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin mempunyai standard atau benchmark yang lebih rendah daripada PN dalam isu integriti. Sebab itu orang yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah pun dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

“Tetapi tidak mengapalah. Itu masalah mereka, bukan masalah kita. Saya yakin rakyat tahu menilai siapa yang lebih komited dan rela berkorban semata-mata untuk memastikan negara kita bebas rasuah dan terselamat daripada cengkaman kleptokrat,” katanya dalam majlis pelancaran manifesto PN di sini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan terus mempertahankan prinsip dan amalan pemisahan kuasa yang jelas bagi tiga cabang kuasa negara iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

Katanya, perkara itu sebagai komitmen PN untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah.

“Kita juga akan melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung kedaulatan undang-undang tanpa campur tangan politik selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara. 

“Sebagai menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, sistem perundangan dan kehakiman syariah akan turut diperkasakan.

“Jika diberi mandat oleh rakyat, Kerajaan Perikatan Nasional juga akan terus melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional selain mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah dan menggubal akta atau peraturan berkaitan pendanaan politik bagi memperkasakan usaha memerangi rasuah di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN