MUAR: Polis Johor menerima 130 laporan berkaitan perbuatan khianat sepanjang tempoh berkempen setakat ini membabitkan tindakan membakar khemah, menconteng poster serta mencabut bendera parti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesemua laporan itu diterima sejak hari pertama berkempen hingga semalam dengan kejadian terbaharu apabila khemah salah sebuah parti dibakar di Batu Pahat.
“Meskipun kebakaran hanya sedikit, namun polis tetap ambil tindakan dan hasil soal siasat mendapati pelaku berkenaan merupakan individu tidak waras dan hanya bertindak mengikut kepuasan.
“Begitu juga di tempat lain, kalau ada laporan sepanjang tempoh berkempen kita akan buka kertas siasatan dan bila siasatan terperinci dilakukan mendapati memang ada kesalahan, polis akan ambil tindakan sewajarnya. Percayalah polis akan melakukannya mengikut tindakan undang-undang sedia ada,” katanya selepas mempengurusikan Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2022 dan Pilihan Raya Umum (PRU15), di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah memaklumkan seramai 4,057 pegawai serta anggota di negeri ini diarahkan untuk memantau situasi banjir sekiranya berlaku dalam tempoh PRU.
Seramai 8,526 pegawai dan anggota pula dikerahkan bagi melancarkan perjalanan sepanjang PRU15. – UTUSAN