100 generasi baharu Felda Lasah terima rumah PGBF - Utusan Malaysia

100 generasi baharu Felda Lasah terima rumah PGBF

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) menyerahkan dokumen projek Perumahan Generasi Baharu Felda kepada peneroka di Felda Lasah Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seramai 100 orang generasi baharu Felda Lasah bakal menerima kediaman bagi projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Ketua Peneroka Felda Lasah, Khairuddin Mohamed berkata, projek yang sekian lama dinantikan oleh generasi baharu itu dijangka siap pada Mac tahun hadapan.

“Kebanyakan generasi baharu ini selain menyewa, mereka juga tinggal bersama generasi pertama iaitu ibu bapa. Keadaan ini agak tidak selesa bagi mereka yang mempunyai keluarga besar.

“Jadi, dengan siapnya projek perumahan ini, dapat memenuhi impian generasi baharu untuk memiliki rumah sendiri sekali gus hidup dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, seramai lima generasi baharu Felda menerima dokumen sebagai simbolik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di sini.

Menurut Khairuddin, pihaknya menerima sebanyak 202 permohonan daripada generasi baharu Felda untuk projek perumahan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hanya 100 permohonan diterima selepas melalui tapisan sebanyak tiga kali oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Projek ini sudah hampir siap, anggaran kerja pembinaan telah mencapai 90 peratus. Kita jangka mereka akan dapat mendiami rumah itu pada Mac tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ismail Sabri mengumumkan bahawa Felda telah bersetuju menghapuskan hutang peneroka Felda Lasah berjumlah RM1.8 juta.

Katanya, hutang berkenaan membabitkan 70 peneroka yang mengalami kerugian akibat serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka.

“Ada 70 peneroka yang kebun terjejas akibat serangan gajah dan berhutang dengan Felda RM1.8 juta. Saya sudah bincang dengan Pengurus Besar dan hari ini, Felda bersetuju menghapus kira hutang sebanyak RM1.8 juta.

“Saya beritahu pengurus jangan setakat uruskan hutang tapi ambil tindakan bagaimana mahu selesaikan serangan gajah pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya