PETALING JAYA: Kegembiraan 10 sekeluarga yang beriadah Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali, Hulu Selangor berdepan detik cemas apabila terperangkap hampir empat jam dalam kejadian kepala air.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berusia enam hingga 63 tahun diselamatkan pasukan bomba pada pukul 8.21 malam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.36 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, terdapat 10 mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Kesemuanya dapat diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa akan pulang ke kediaman mereka di Sungai Buloh di sini.- UTUSAN