PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyumbang cermin mata percuma kepada pelajar kurang berkemampuan atau B40 di seluruh kawasan Sabak Bernam dan Sungai Besar, Selangor, hari ini.
Penyerahan cermin mata disempurnakan dua Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Dr. Abdul Rahman Bakri di Sabak Bernam dan Widia Wati Abuzar di Sungai Besar dalam satu majlis berasingan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam.
Abdul Rahman berkata, bantuan cermin mata itu melibatkan 300 pelajar di seluruh Sabak Bernam yang bakal menerima manfaat ini.
Katanya, senarai nama-nama penerima yang terpilih diperoleh daripada PPD Sabak Bernam dan kemudian senarai tersebut disalurkan ke YBR untuk mendapatkan bantuan itu.
“YBR amat memahami mereka yang mengalami masalah penglihatan dalam mendapatkan cermin mata serta masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan dalam mengharungi fasa endemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Widia Wati dalam satu majlis berasingan berkata, YBR sentiasa terpanggil untuk tampil membantu golongan yang kurang bernasib baik di mana kali ini YBR berpeluang menghulurkan bantuan kepada golongan pelajar keluarga B40 yang memerlukannya.
Beliau berharap dengan bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dalam meneruskan pembelajaran dengan yakin serta menjadikan kehidupan mereka menjadi lebih produktif dan sejahtera. – UTUSAN