Wujudkan sistem pengagihan dana lebih telus - Utusan Malaysia

Wujudkan sistem pengagihan dana lebih telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan RM50 juta menerusi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memangkin kualiti industri perfileman, sekali gus menyuntik semangat kepada penggiat seni untuk bekerja lebih keras.

Penerbit yang juga Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali berkata, filem bersifat kenegaraan, terutama produksi epik memerlukan perbelanjaan besar dan suntikan dana untuk merealisasikan penghasilan filem berkualiti tinggi.

“Keprihatinan kerajaan menerusi DEKAN menjadi pencetus kepada penggiat industri filem untuk bergerak ke arah yang lebih baik. Diharapkan langkah awal ini menjadi permulaan untuk peruntukan dana yang lebih besar pada masa akan datang.

“Kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memberi contoh filem kenegaraan, termasuk produksi epik berpotensi meraih kupitan tinggi, malah mampu mencipta sejarah. Tetapi, kita perlu tingkatkan usaha dan hasilkan sesuatu yang lebih berkualiti,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2023 kelmarin, kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi DEKAN sebagai usaha memacu industri kreatif, terutama naskhah bergenre patriotik.

Kerajaan turut mengumumkan Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Malah, penggiat seni yang memberi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Film Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai.

Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menambah, satu pelan pelaksanaan dan sistem pengagihan harus diwujudkan bagi memastikan dana yang diberi dapat disalurkan dengan lebih adil serta telus.

Sementara itu, pengarah tersohor, Syamsul Yusof berkata, usaha kerajaan menyalurkan dana menerusi DEKAN dan DKD seharusnya disambut baik dengan penghasilan karya lebih berkualiti.

“Kejayaan beberapa filem, termasuk Mat Kilau berjaya membuka mata kerajaan memandang industri filem bukan hanya hiburan semata-mata, sebaliknya boleh menjadi medium menaikkan semangat kenegaraan.

“Ini adalah satu bentuk sokongan kepada pengkarya seni yang ingin menghasilkan filem epik.

“Malah, pemotongan cukai juga dapat membantu pengkarya filem dan kandungan digital bersemangat hasilkan produk seni. Kita seharusnya berbesar hati dan berterima kasih. Semoga pelaksanaan dan pengagihan dana juga telus serta adil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya