BUTTERWPRTH: Kumpulan rock legenda, Wings bakal menggegarkan Pulau Pinang sekali gus mengubati kerinduan peminat utara tanah air menerusi Konsert Wings Mega Marhaen @Midtown Perda yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini.
Vokalisnya, Datuk Awie berkata, konsert terbesar itu menyasarkan peminat yang kebanyakannya terdiri daripada golongan marhaen memberikan sokongan padu kepada kumpulan itu sejak lebih 37 tahun lalu.
“Saya, Eddie, Black, Sham dan Edrie juga marhaen, sebab itu kami mahu marhaen datang sebab merekalah pembeli utama cakera padat (CD) dan kaset Wings.
“Sudah lama Wings tidak masuk Pulau Pinang dan saya harap semua dapat hadir memandangkan ini adalah konsert terbesar yang bakal berlangsung setelah puluhan tahun tiada konsert mega seumpama ini di sini.
“Selain itu, saya turut akan menghiburkan peminat dengan beberapa lagu berbahasa Inggeris yang pernah dinyanyikan semasa awal penubuhan kumpulan kami menerusi segmen ‘Tribute To Rock Bands’,” katanya dalam sidang media di Kubang Menerong, dekat sini semalam.
Mengulas lanjut, Awie berkata, konsert mega yang bakal berlangsung itu adalah konsert terakhir Wings untuk bulan ini.
“Kami akan ke Mekah untuk menunaikan umrah pada bulan depan dan dijangka akan kembali aktif selepas Aidilfitri atau semasa bulan puasa nanti,” katanya.
Tiket untuk Konsert Wings Mega Marhaen @Midtown Perda sudah mula dijual dari harga RM98 sehingga RM500 menerusi laman ticket.hingaq.com. – UTUSAN