PETALING JAYA: Kebanjiran konsert di negara ini terus dihangatkan lagi dengan kehadiran kumpulan pop popular era 1990-an, Westlife yang akan beraksi di ibu negara pada Februari tahun depan.
Bakal berlangsung selama dua malam di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 23 dan 24 Februari 2023, kemunculan terbaru itu mengubat kerinduan peminat selepas kali terakhir beraksi di negara ini pada 2019.
Selain Kuala Lumpur, kumpulan dianggotai Nicky Byrne, Kian Egan, Shane Filan dan Mark Feehily itu akan turut beraksi dalam konsert Westlife The Wild Dreams Tour di Singapura, Taiwan dan Thailand.
“Konsert ini adalah untuk meraikan dan membawa peminat kami lebih dekat berbanding sebelum ini.
“Kami merancang persembahan yang spektakular dengan membawakan lagu hits, selain beberapa kejutan. Kami sudah tidak sabar untuk bertemu peminat, tidak lama lagi,” kata kumpulan asal Ireland itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, penganjur, Trumpet International dalam satu kenyataan berkata, tiket untuk siri konsert jelajah itu dijual bermula pada harga RM294 hingga RM884.
Tiket prajualan akan dijual hari ini bermula pukul 11 pagi di Main Atrium, Lalaport Bukit Bintang City Centre.
Peminat juga boleh mendapatkan tiket secara dalam talian bermula pukul 11 pagi esok.
Kali terakhir beraksi di Malaysia tiga tahun lalu menerusi The Twenty Tour 2019 Live in Kuala Lumpur, kemunculan kumpulan yang popular dengan lagu Flying Without Wings, Uptown Girl dan I Have A Dream itu menarik 14,000 penonton di Stadium Malawati, Shah Alam.
November tahun lalu, Westlife melancarkan album ke-12 mereka, Wildest Dreams yang memuatkan lagu hits termasuk Alone Together, My Hero dan Starlight.
Diperkenalkan pada 1998 menerusi lagu Swear It Again, kumpulan ini pernah berpecah pada 2012 selepas 14 tahun bersama. Mereka bagaimanapun, kembali bersatu dengan melancarkan album Spectrum seterusnya menjayakan siri jelajah pada 2018.