Wartakan bangunan lama sebagai tapak warisan

Wartakan bangunan lama sebagai tapak warisan

DERETAN bangunan atau rumah kedai lama berusia ratusan tahun yang kekal kukuh menjadi tarikan yang perlu dipulihara di pekan Kangar, Perlis. – FOTO/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Melalui jalan utama pekan Kangar di sini, mata pasti terpandang deretan bangunan dan rumah kedai lama berusia ratusan tahun di kiri dan kanan jalan sepanjang 200 meter di laluan berkenaan.

Rumah-rumah kedai berke­naan mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri termasuk terdapat sebuah kedai besi berusia hampir 180 tahun yang masih beroperasi membabitkan empat generasi perniagaan tersebut.

Justeru, bagi memulihara kawasan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling mencadangkan agar lokasi tersebut diwartakan sebagai tapak wari­san.

Di sebalik Kangar yang telah berubah wajah dengan pemba­ngunan yang pesat namun ba­ngunan dan rumah kedai lama bersejarah itu tetap dipelihara sebagai mercu tanda bandar ini.

Ay Ling berkata, deretan rumah kedai berkenaan dalam kategori ‘klasik’ dan antara yang terawal di negeri ini berusia ratusan tahun.

“Naik taraf rumah-rumah kedai berkenaan termasuk mengecat semula namun mengekalkan keaslian sedia ada. Rumah atau bangunan berkenaan meskipun sudah berusia ratusan tahun namun masih teguh.

“Saya cadang digazetkan ka­wasan tersebut sebagai tapak warisan memandangkan ia mem­punyai nilai sejarah dan ke­unikan tersendiri sebagai mer­cu tanda bandar ini,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan, di sebalik deretan bangunan atau rumah kedai lama tersebut, terdapat sebuah kedai tukang besi yang berusia hampir 180 tahun.

Ketika peniaga silih berganti, kedai Tukang Besi Thye Lee yang diusahakan sejak 1848 itu sudah melalui lebih empat generasi dengan Loh Yew Yin, 83, adalah tukang besi terakhir daripada keluarga tersebut yang masih bertahan mengusahakan kerja-kerja pertukangan ini.

Rumah-rumah kedai di se­panjang laluan kiri dan kanan jalan itu difahamkan berusia ratusan tahun dan masih kukuh.

Tambah Ay Ling, di kawasan-kawasan sekitar bandar Kangar itu juga mempunyai bangunan-bangunan lain yang bersejarah yang perlu sentiasa kekal dipulihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN