KEPALA BATAS: Kampung Jambatan Merdeka dan Kampung Guar Kepah adalah antara 40 lokasi tapak warisan di Seberang Perai Utara, Butterworth, di sini yang perlu diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara sebagai lokasi sejarah.
Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang (Perwarisan), Dahalan Fazil berkata, lokasi tersebut pernah menyaksikan berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dengan British ketika Perang Dunia Kedua.
“Mengenai Kampung Guar Kepah, kajian yang dilakukan secara spesifik itu mungkin tiada namun peninggalan sejarah di kampung tersebut dan Kampung Titi Jambatan Merdeka (kini Kampung Jambatan Merdeka) memang ada ketika Perang Dunia Kedua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga pengkaji sejarah tempatan berkata, terdapat bukti penemuan kubu pertahanan dibina penjajah Inggeris di Kampung Guar Kepah berhadapan Sungai Muda, Kepala Batas yang masih utuh sehingga kini.
Selain itu, katanya, terdapat titi lama yang digunakan penduduk setempat bagi menyeberangi Sungai Muda sama ada untuk menuju ke pekan sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang atau pekan berhampiran Sungai Petani, Kedah.
“Memang ada kubu (pertahanan) Inggeris, tetapi orang ingat itu kubu Jepun kerana sebenarnya dibina oleh Inggeris di tepi sungai (Kuala Muda, Kepala Batas) bagi mempertahan serangan Jepun ketika Perang Dunia Kedua tercetus.
“Malah, tapak titi lama yang dibina British (sekitar tahun 1938) masih wujud dan boleh dilihat jika Sungai Muda surut.
“Jadi, usaha Perwarisan adalah dengan memasukkan senarai lokasi tersebut untuk diwartakan sebagai tapak warisan oleh Jabatan Warisan Negara kerana melibatkan peristiwa bersejarah di Seberang Perai,” katanya.
Dahalan berkata, cadangan mewartakan beberapa lokasi bersejarah tersebut sudah dimulakan sejak 2015, namun sehingga kini belum mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.
“Saya terlibat dalam kajian (sejarah tempatan) sejak 2014. Pada tahun 2015 cadangan mewartakan lokasi bersejarah termasuk sebuah pangkalan lama di Permatang Bendahari (dekat Kepala Batas) dihantar ke Jabatan Warisan Negara dan kerajaan tempatan.
“Pangkalan tersebut mempunyai nilai sejarah tempatan tersendiri yang menghubungkan Kota Kuala Muda di Kedah dengan Kepala Batas, Seberang Perai Utara sejak 200 tahun dahulu,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat sebuah rumah dikenali sebagai rumah Tuan Haji Hashim Kerani di Bagan Belat, Telok Ayer Tawar yang mana Tunku Abdul Rahman sering bermesyuarat bersama pemilik rumah tersebut.
“Terdapat juga sebuah rumah sejarah di Kepala Batas iaitu kepunyaan Tuan Guru Abdullah Fahim yang mana tarikh kemerdekaan telah ditetapkan di rumah berkenaan oleh Tunku Abdul Rahman bersama tuan guru ketika itu,” katanya.
Malah, menurut Dahalan, sehingga hari ini lokasi-lokasi tersebut belum diwartakan kecuali sebuah tapak arkeologi di Kampung Guar Perahu yang kini dijadikan sebagai galeri arkeologi berikutan penemuan rangka tulang manusia berusia lebih 5,000 tahun dijumpai di situ. – UTUSAN