LANGKAWI: Seorang lelaki warga Korea Selatan terjatuh semasa mendaki puncak Air Terjun Telaga Tujuh di sini tengah hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Sallehuddin Darawi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 12.59 tengah hari.
“Mangsa terjatuh di puncak Air Terjun Telaga Tujuh di Gunung Mat Chinchang dan mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan serviks.
“Pihak bomba mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak yang dianggarkan setinggi 90 meter itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah memberi rawatan awal kepada mangsa sebaik sahaja tiba di lokasi.
Sallehuddin berkata, mangsa dibawa turun ke kaki bukit berkenaan pada 2.54 petang dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Semalam, seramai 44 pendaki yang menaiki puncak air terjun tersebut terperangkap kerana tidak dapat melintasi sungai yang dilanda arus deras akibat kepala air ketika hujan lebat.
Namun, kesemua mereka berjaya diselamatkan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN