Warga emas ‘ligat’ hasilkan tembikar - Utusan Malaysia

Warga emas ‘ligat’ hasilkan tembikar

ZAINAB Hussin menunjukkan produk tembikar di bengkel miliknya di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seorang warga emas dari Kampung Mambong di sini masih ‘ligat’ menghasilkan pelbagai jenis tembikar daripada tanah liat secara tradisional meskipun usianya sudah menjangkau 76 tahun.

Zainab Hussin yang sudah berpengalaman lebih lima dekad berkata, dia mengambil masa kurang daripada 20 minit bagi membentuk sebuah tembikar.

“Saya mula pelajari cara buat tembikar daripada arwah nenek sejak berusia 14 tahun selepas berhijrah ke Kampung Mambong pada 1950-an.

“Proses itu bukan sesuatu yang mudah dan saya perlu mengambil masa hampir setahun memiliki kemahiran tersebut sebelum dapat menghasilkan tembikar tanah liat,” katanya ketika ditemui di bengkel mini miliknya di Kampung Mambong, di sini semalam.

Menurut Zainab, tembikar yang dihasilkan itu mempu­nyai keunikan tersendiri kerana perlu dibentuk dan dibakar terlebih dahulu bagi mengekalkan rupa bentuk serta memastikan ia kukuh dan kalis air.

Katanya, dia memerlukan tanah liat berkualiti dan bahan mentah itu digali sendiri oleh anaknya di satu kawasan yang tidak jauh dari rumah.

“Ia membabitkan beberapa proses bermula daripada proses membentuk arca dan ia dibiarkan serta dikeringkan selama dua hari. Selepas itu, proses mengukir pada tembikar dilakukan sebelum ia dibakar selama tujuh jam dengan menggunakan api besar (dua jam) dan api kecil (lima jam),” jelasnya.

Zainab berkata, tembikar yang dihasilkannya dijual de­ngan harga antara RM20 hingga RM100, bergantung kepada jenis serta saiz.

Katanya, antara produk yang dihasilkan ialah belanga, pe­ngukus pulut, cerek, periuk dan sebagainya.

“Walaupun tidak dipromosi secara besar-besaran, permintaan terhadap tembikar ini tetap ada sama ada daripada orang perseorangan mahupun agensi kerajaan yang ingin menjadikannya sebagai cenderahati.

“Permintaan terhadap tembikar Mambong ini agak tinggi, namun dalam tempoh sebulan, saya hanya mampu menghasilkan 300 biji tembikar pelbagai jenis dan saiz,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya