PETALING JAYA: Sindiket pemerdagangan manusia disyaki turut bersekongkol dengan segelintir warga asing yang berada di negara ini bagi membekalkan tenaga kerja ke luar negara.
Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut berdasarkan keterangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini.
Malah beliau dalam masa yang sama percaya terdapat segelintir warga asing terlibat dengan penipuan pekerjaan di luar negara atau dikenali sebagai job scam.
“Berkemungkinan (penglibatan warga asing di negara ini). Saya dapat maklumat daripada mangsa bahawa orang yang terlibat dengan job scam ini dari negara China.
“Tidak mustahil mereka juga dikehendaki di sana dan kemudian lari masuk ke negara ini serta tipu rakyat China yang berada di negara-negara lain.
“Mereka juga boleh tipu sesiapa sahaja. Rakyat Malaysia jadi pilihan sebab orang kita boleh cakap pelbagai bahasa kerana kita terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera mengambil tindakan mengatasi isu sindiket pemerdagangan manusia di Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos.
Desakan tersebut dibuat selepas terdapat kes melibatkan rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa sindiket di negara itu sehingga terdapat rekod kematian yang telah dipalsukan dipercayai bagi menutup kegiatan sindiket berkenaan.
Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di beberapa negara ASEAN.
Sementara itu Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, pihaknya akan meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan masalah tersebut seandainya mangsa gagal diselamatkan.
“Perlu diingat, jenayah pemerdagangan manusia sehingga ke peringkat antarabangsa dan ia boleh memberi kesan kepada reputasi negara,” katanya.
Dalam pada itu Musa berkata, semua agensi penguat kuasa perlu bekerjasama dalam menjalankan kerja-kerja risikan serta sentiasa mengemas kini maklumat terbaharu kepada orang awam.
“Sekiranya kerajaan sudah ada maklumat maka perlulah dimaklumkan kepada orang ramai. Dan, semua aspek maklumat ini bergantung dengan kerja-kerja risikan. Semua perlu mainkan peranan. CyberSecurity Malaysia perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan.
“Kalau polis dulu-dulu, kita sudah ada pelbagai maklumat dan terus sekat mereka. PDRM (Polis Diraja Malaysia) ada kemahiran yang bagus dalam risikan. Jika tidak, mana mungkin komunis boleh dihapuskan. Tapi sekarang apa tindakan seterusnya?” Soalnya. – UTUSAN