Wan Zul tidak sempat dengar lagu ciptaan terbaharu

Wan Zul tidak sempat dengar lagu ciptaan terbaharu

CHE WAN Nuradli Che Wan Zulkifli menyiram pusara bapanya, Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal, Kemaman. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hasrat komposer terkenal, Wan Zul atau nama sebenarnya, Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani mendengar lagu ciptaannya untuk dinyanyikan anak saudaranya, tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia awal pagi tadi. 

Anak Allahyarham, Che Wan Nuradli, 31, berkata, bapanya mencipta lagu berunsurkan ketuhanan itu untuk anak saudaranya pada Mac lalu, namun tidak sempat dinyanyikan sepenuhnya oleh Che Wan Nur Fatin Aqila Che Wan Zuhaini, 23. 

“Selain lagu tersebut, Allahyarham ada mencipta beberapa lagu lain untuk beberapa artis, namun tak sempat untuk dirakam,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman kakaknya, Che Wan Nursyikin di Kampung Baru Kijal, di sini hari ini. 

Wan Zul, 61, meninggal dunia kira-kira pukul 2.33 pagi tadi selepas ditidurkan dua kali berikutan jangkitan kuman pada paru-paru akibat melioidosis. 

Anak bongsu daripada dua adik beradik itu berkata, pemergian bapanya diibaratkan sebagai kehilangan besar berikutan sifat bapanya yang penuh dengan kasih sayang. 

“Ayah seorang yang penuh dengan kasih sayang. Malah, dia melayan saya seperti seorang sahabat baik. Memang pemergiannya dirasai setiap ahli keluarga,” katanya. 

Che Wan Nuradli berkata, dia dan kakaknya serta ibu mereka tidak menyangka kesihatan ayahnya akan kembali merosot berikutan dia telah menunjukkan perkembangan positif selepas sedar daripada ditidurkan pada Isnin minggu lalu. 

“Ayah kembali sedar pada Sabtu, dia sempat berbual dan bergurau dengan ibu. Memang tak sangka kesihatannya akan merosot hingga dia menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi,” katanya. 

Sementara itu, pemain drum kumpulan Iklim, Kamaruddin Ibrahim, 58, yang turut memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Wan Zul, turut menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan yang sukar dicari ganti dalam industri muzik tanah air. 

“Saya sedih dan rasa satu kehilangan yang besar. Arwah seorang yang baik dan beliau adalah individu yang bertanggungjawab menaikkan kumpulan Iklim menerusi lagu-lagu ciptaannya yang disifatkan sebagai ‘berhantu’ dan masih dikenali sehingga kini. 

“Sepanjang kariernya, arwah sangat berhati-hati dalam pemilihan lagu dan sangat bersungguh-sungguh dalam berkarya,” katanya. 

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal kira-kira pukul 2.30 petang selepas disolatkan di Masjid Jamek Kijal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya