DALAM sebuah kugiran, memang kebiasaan vokalis paling popular. Tidak ramai anggota lain yang boleh popular di mata peminat, seperti Man Kidal untuk Lefthanded, Slash untuk Guns N Roses dan AG Coco untuk Hujan.
Mungkin AG membawa nama kugiran lamanya, Coco, tetapi namanya naik selepas bersama Hujan, kemudian membina jenamanya sendiri sebagai penyusun dan penerbit muzik.
Dalam generasinya, tidak ramai gitaris yang mampu membina nama sebagai guitar hero.
Kalau ditimbang dengan neraca popular, hanya AG Coco, gitaris dengan kugiran yang lahir dalam tempoh dua dekad ini mampu memegang gelaran itu.
Dia dijemput sebagai gitaris jemputan dalam lagu Jemson dan Ical Mosh. Setiap kali ada bahagian gitar solo, tak kira lagu apa, orang jerit nama dia.
Bukan saja di pentas, malah di pusat karaoke. Itu legasi AG Coco sebagai gitaris. Namun, dalam artikel ini, saya mahu menyusuri kerjayanya sebagai penerbit dan penyusun muzik.
DARI SUSUN KEPADA TERBIT
Dalam penglibatannya yang genap 20 tahun dalam industri, AG sudah mencipta, menyusun dan menerbitkan lebih 400 lagu.
Mendengar diskogra nya di Spotify, saya dapat mengesan kemuncak peranan AG sebagai penyusun dan penerbit dalam industri muzik negara adalah dalam dekad 2010 hingga 2019.
AG terlibat menaikkan nama penyanyi dan kugiran yang popular dalam tempoh itu, termasuk kugirannya sendiri, Hujan, Tomok dan Yuna.
Dia juga yang mula meneroka potensi beberapa kugiran seperti Orkes A. Hizadin, Nastia dan Masdo.
“Aku tak pilih untuk jadi penerbit. Mulanya, aku buat terlalu banyak benda. Aidit Alfian dan Alfa Booty yang beritahu aku untuk pilih satu jalan dan aku pilih jalan untuk jadi penyusun muzik (music arranger).
“Penyusun muzik ialah seseorang yang buat susunan muzik untuk sesebuah lagu. Susunan itu diberikan kepada penerbit yang akan membuat keputusan, sama ada okey atau perlu ditambah baik.
“Kerjaya aku selama lebih kurang enam tahun sebagai penyusun, aku ikut apa yang penerbit nak. Sampailah label sendiri yang nak aku terbitkan lagu,” katanya.
Mungkin ramai yang keliru dengan peranan penerbit ketika ini. Zaman berubah, peranan syarikat rakaman juga tidak menyeluruh seperti dulu.
Sesiapa sahaja dengan peralatan dan pengetahuan yang cukup boleh terbitkan lagu secara mandiri.
AG juga mengakui hal itu kerana ketika ini, seperti ada pertindihan antara peranan penyusun dengan penerbit muzik. Kedua-dua peranan itu boleh dijalankan oleh orang yang sama.
“Kalau dengan orang lama, penerbit bagi mereka ialah orang yang buat keputusan untuk lagu itu. Penyusun yang buat kerja.
“Macam aku bagi lagu pada penyusun, dia yang susun, aku tak susun. Tapi, penyusun itu pun boleh cakap dia penerbit sebab istilah itu sudah disekalikan. Secara bahasa tidak salah, sebab memang dia terbitkan (dengan buat susunan),” kata AG yang kini menetap di London bersama keluarganya.
AG pernah menjalankan kedua-dua peranan sekali gus. Contohnya dalam album P. Ramlee: Satu Indiepretasi, dia diminta untuk menerbitkan album tersebut dan juga membuat susunan muzik.
“Waktu itu, aku belum jumpa orang yang betul-betul faham aku, untuk aku minta jadi penyusun. Sampailah aku buat banyak projek macam program TV yang satu episod 10 lagu, masa itu aku perlu satu pasukan.
“Aku mula dengan Rudy (gitaris Nastia) dan Azim Jenk Ali (pemain dram Nastia). Aku mula ajar mereka buat susunan dengan cepat,” katanya.
AG terlibat dalam pembikinan dua album Yuna di Malaysia. Baginya, Yuna antara artis yang dia selesa bekerja bersama.
“Hebatnya dia, orang biasa hum melodi dulu, lirik kemudian. Dia hum sekali melodi dan lirik keluar,” katanya.
Selain itu, beberapa album terbitannya yang paling disukai termasuk Lonely Soldier Boy (Hujan); Jika Sempat (Hujan); Esok Belum Tiba (Nastia); Aku, Dia & Nirvana (Dish) Siang dan Malam (Amir Jahari) dan Puisi Tepi Jalan (Fynn Jamal).
“Album Fynn Jamal itu yang aku betul-betul lepas semuanya. Album Amir Jahari aku lepas geram juga.
“Ini semua terbitan aku yang tak kir langsung komersial. Itu yang paling seronok,” katanya.
DULU DAN SEKARANG
Berbual dengan AG tidak ada hitam dan putih. Tidak ada hal yang baik dan buruk sepenuhnya. Begitu juga apabila dia membandingkan cara bekerja penerbit dulu dengan sekarang.
Kaedah yang popular dalam kalangan penerbit terkini adalah dengan menggunakan bank bunyi dari pelbagai platform seperti Splice, Arcade dan Loopsound. Sampel-sampel bunyi tersebut digabung dan dimanipulasi untuk menjadi sebuah lagu.
“Macam mazhab kami, mazhab organik. Dari kosong, kami main (instrumen).
“Tapi aku hormat juga pada yang guna mazhab Splice ini. Mereka pandai manipulasi bunyi itu menjadi lagu. Kreativitinya pada bagaimana mereka pilih sebab kena luang masa untuk pilih satu-satu.
“Pengguna paket MIDI dan sampel frasa bunyi ini kurang dari segi keaslian. Bagi aku, boleh guna untuk bantu kau keluar dari sekatan kreativiti. Sebab lagu biasanya bermula dengan dua atau tiga bar, sampel-sampel bunyi ini boleh bantu kau untuk dapat inspirasi,” jelasnya.