PUTRAJAYA: Malaysia menempah dos vaksin baharu Covid-19 iaitu Bivalent yang dijangka tiba di negara ini bulan depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, vaksin jenis baharu daripada Pfizer itu tidak membabitkan sebarang perolehan tambahan dan hanya menggunakan perolehan sedia ada.
“Kita tukar tempahan kita daripada vaksin lama kepada vaksin baharu yang akan sampai pada bulan November.
“Namun saya nasihat kepada mereka yang berisiko tinggi tidak perlu tunggu (vaksin baharu), ambil dahulu vaksin sedia ada bagi dos penggalak sebab itu pun berkesan terhadap varian Omicron,” katanya menerusi sidang akhbar berkenaan perkembangan Covid-19 di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy turut menyerahkan sumbangan bantuan ubat-ubatan yang bernilai RM288,610 kepada Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka bagi menyokong usaha dalam memberikan penjagaan kesihatan di kawasan yang sedang dilanda krisis.
Sumbangan tersebut membabitkan 1,000 vial suntikan Amphotericin B 50 miligram, 20,000 vial suntikan Heparin 25,000 I.U 5 mililiter (ml) dan 10,000 ampul suntikan Aminophylline 25 ml dalam suntikan 10 ml. – UTUSAN