KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Covid-19 di peringkat global mengakibatkan seluruh masyarakat terkesan.
Kesan daripada ketidakseimbangan ekonomi itu turut menyebabkan peningkatan kos sara hidup, sekali gus menjadikan golongan pertengahan iaitu M40 kini tergolong dalam kategori B40 dan semakin terhimpit dengan keadaan yang tidak menentu.
Situasi ini amat membimbangkan kerana sekiranya ia berterusan akan menjejaskan kemampuan produktiviti negara dan mengakibatkan jurang pendapatan antara rakyat bertambah besar.
Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin berkata, golongan bawahan ketika ini menghadapi detik-detik sukar apabila menghadapi kekurangan dari pelbagai sudut khususnya bekalan makanan.
Menurut beliau, masalah yang dihadapi oleh golongan rentan ini cukup membimbangkan kerana masih ramai lagi yang memerlukan pertolongan ketika ini untuk keluar daripada kesempitan.
“Semasa pandemik iaitu pada Mac 2020, ramai golongan miskin dan asnaf yang meminta tolong kerana bekalan makanan tiada ketika itu antaranya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Sabah.
“Saya mendapat lebih daripada 300 mesej setiap hari, ada hantar gambar dan video untuk meminta tolong. Terdapat kanak-kanak kelihatan lemah disebabkan tiada makanan, susu dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini.
Oleh kerana sedar akan situasi getir dihadapi negara ketika ini, seiring dengan syor Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 2021, Yayasan Chow Kit bersama Yayasan Hasanah menjalankan satu usahasama bagi memberi bantuan kecemasan kepada pihak memerlukan.
Usahasama tersebut turut melibatkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Bantu iaitu satu gabungan yang terdiri daripada 17 NGO dari Sabah, Yayasan Sejahtera dan Zero Hunger.
Miskin dan daif
Ia berjaya membantu sebanyak 7,737 isi rumah dalam fasa pertama dan dijangka usahasama itu akan memberi manfaat kepada lebih 8,000 isi rumah dalam fasa kedua yang sedang dijalankan ketika ini.
Bagi meneruskan usaha membantu golongan miskin dan asnaf, Hartini menyertai MPN untuk turut sama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut dan menjadi peluang untuk beliau meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat.
“Saya dijemput untuk bersama-sama dengan MPN. Saya betul-betul gembira kerana saya fikir ketika itu ia adalah peluang untuk bergabung dengan ahli-ahli kerajaan, bukan kerajaan dan pihak lain untuk sama-sama berganding bahu menolong orang susah,” katanya.
Untuk rekod, MPN ditubuhkan pada 21 Julai yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut sama disertai oleh menteri-menteri kanan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil daripada blok pembangkang serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan.
Penubuhan MPN bertujuan memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan berkesan mahupun teratur bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bangkit kembali seperti biasa.
Mengulas mengenai pemberian bakul makanan ketika PKP kepada golongan rentan, Hartini mengakui ia adalah inisiatif yang baik tetapi ia masih memerlukan penambahbaikan bagi memastikan seluruh keluarga sentiasa mendapat bekalan makanan mencukupi.
“Sebabnya bakul makanan diberikan adalah untuk menjejaki golongan susah dan sekarang kita dapat kesan 17,000 isi rumah, dari situ kita boleh buat intervensi bagi memastikan mereka mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi.
“Kita perlu pelbagai pendekatan untuk melihat bagaimana kita boleh bina satu ekosistem. Ini kerana makanan adalah perkara asas selepas itu baru kita boleh fikir tentang pendidikan dan tempat perlindungan,” ujarnya.
Kembali pulih
Hartini berkata, untuk menjayakan misi membantu golongan memerlukan dan memastikan negara kembali pulih setiap pihak perlu mengetepikan kepentingan untuk bersatu menggerakkan negara ke arah kebaikan.
“Kita kena bergabung, tiada satu parti, satu kumpulan, satu organisasi mahupun satu sektor mampu melakukan perkara ini sendiri, tak mungkin. Kalau nak cakap bila negara akan pulih? Ia mengambil sekurang-kurangnya 10 tahun, bagaimana kerajaan nak lakukan sendiri?
“Kita semua perlu bersatu untuk menjaga kanak-kanak dan bantu mereka dari segi pendidikan juga. Ia bukan tentang duit tetapi ia mengenai semangat dan apa yang perlu kita utamakan sekarang untuk memastikan negara berada pada landasan untuk sembuh. Semua kena buat bahagian masing-masing, bukan hanya satu pihak,” jelasnya.
Sementara itu, Hartini turut memaklumkan bahawa beliau akan membentangkan kepada mesyuarat MPN akan datang mengenai cadangan lanjutan bagi mengukuhkan inisiatif-inisiatif keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan. – UTUSAN