PETALING JAYA: Rakyat dinasihati untuk tidak mempertaruhkan masa depan negara dengan memilih Pakatan Harapan (PH), sebaliknya perlu memilih kerajaan yang sudah pasti stabil untuk mentadbir negara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesilapan semasa pilihan raya sebelum ini tidak boleh diulang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ia adalah penentu kepada masa depan negara.
Menurut beliau, dunia akan diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun hadapan oleh badan antarabangsa dan Malaysia akan turut menerima tempias daripada keadaan tersebut.
“PRU15 bukan lagi masa untuk Malaysia bereksperimen. PRU15 sangat mustahak dalam menentukan masa depan tanah air dan masyarakatnya. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama pada hari pengundian 19 November. Kerajaan BN yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil perlu dibentuk.
“Usah memperjudikan masa depan negara dengan memilih PH hanya kerana kita mempunyai sentimen politik akibat terpengaruh dengan ‘bisikan’ pemimpin mereka. Insya-Allah kita yakin rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan dan propaganda PH yang bertujuan memanipulasi daya fikiran rakyat ini,” katanya di dalam satu hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau percaya rakyat akan berlaku rasional dengan memilih kestabilan dan bukan memilih kepentingan politik PH semasa membuat penentuan PRU15.
“Lebih baik kita ‘tendang’ mereka lebih awal supaya mereka tidak merosakkan negara dan kesejahteraan keharmonian hidup masyarakat sekali lagi,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, PH yakin akan memenangi PRU15 pada pertengahan November ini sekali gus kembali mentadbir kerajaan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, PH perlu diberi sekali lagi peluang namun sedia digulingkan sekiranya gagal mempamerkan prestasi baik sebagai kerajaan.
Ahmad Zahid turut membidas kenyataan tersebut dengan mengatakan sikap PH yang suka mengajak rakyat bereksperimen menyebabkan negara kucar-kacir dengan pelbagai masalah selepas pilihan raya sebelum ini.
“PH pujuk rakyat pilih mereka sebagai kerajaan semula pada PRU15 dan jika prestasi kerajaan PH ‘ke laut’ mereka bersedia ‘ditendang’ sekali lagi. Apakah PH fikir begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan propaganda seperti ini selepas rakyat menyaksikan apa yang terjadi hanya dalam tempoh 22 bulan?
“Ingatlah sebilangan rakyat pernah bereksperimen pada PRU14. Natijah tersilap memilih kerajaan seperti yang berlaku pada 9 Mei 2018 adalah amat buruk,” ujarnya. – UTUSAN