PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) akan memastikan orang Melayu dapat dimajukan sepertimana perjuangan asal UMNO.
Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika GTA diberi peluang memimpin negara, pihaknya akan memastikan negara dipulihkan dan orang Melayu dapat dimajukan seperti UMNO dahulu lakukan.
Beliau berkata, dahulu orang Melayu dilindungi oleh kerajaan-kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu UMNO.
“Tetapi UMNO di bawah Najib (Datuk Seri Najib Razak) sudah ubah perjuangan UMNO dari melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkaya diri pemimpin UMNO. Sebab itu ditubuhkan untuk melindungi dan memaju orang Melayu. Gerakan akan kembali kepada perjuangan asal UMNO,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, tumpuan GTA bukan untuk dapat tempat untuk diri sendiri tetapi untuk memulihkan politik, ekonomi dan kewangan negara.
Dr. Mahathir berkata, GTA akan memastikan isu kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka dapat diatasi kelak.
Menurutnya, GTA menggunakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini kerana kerajaan tidak meluluskan pendaftaran GTA.
“Pejuang seperti juga GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO. Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini,” katanya.
Katanya, GTA adalah gabungan rakyat dari semua lapisan untuk mendiri kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. – UTUSAN