UMNO tangguh laksana hukuman gantung keahlian Mohd. Yusof

UMNO tangguh laksana hukuman gantung keahlian Mohd. Yusof

MOHD. Yusof Ismail (lima dari kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Disiplin UMNO bersetuju menangguhkan pelaksanaan hukuman penggantungan keahlian terhadap Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd. Yusof susulan rayuan yang dibuat UMNO Bahagian Alor Setar kepada Ibu Pejabat UMNO, baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan sama ada dilepaskan daripada hukuman penggantungan selama enam tahun itu hanya dibuat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.

“Ketika ini UMNO tangguh keputusan gantung keahlian sehingga mesyuarat MKT akan datang, kerana untuk menggantung atau memecat ahli adalah kuasa MKT.

“UMNO Bahagian Alor Setar ada buat rayuan kepada Ibu Pejabat UMNO dan dibincangkan, maka Lembaga Disiplin buat keputusan tangguh penggantungan, maka saya boleh aktif balik sebagai ketua bahagian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di sini, malam tadi.

Mohd. Yusof sebelum ini digantung  enam tahun sebagai ahli UMNO dipercayai ekoran kritikan ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kumpulan WhatsApp ketua UMNO bahagian.

Sementara itu, beliau sehingga kini belum dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin selain tidak dimaklumkan mengenai punca dan kesalahan sebenar sehingga digantung keahlian.

Namun beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ahli MKT yang banyak membantunya menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya sebenarnya tak tahu sebab apa digantung, saya tak pernah dipanggil Lembaga Disiplin dan tak dinyatakan apa kesalahan pada parti, tiba-tiba saya digantung.

“Saya beranggapan mungkin tulisan dan teguran saya dalam kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian mungkin jadi kesalahan tanpa saya sedari, maka saya diambil tindakan.

“Hendak kata saya buat sidang media (kritik) di luar saya tak pernah, malah saya tak pernah menentang UMNO di luar dan sentiasa sokong parti. Perkara ini jadi iktibar untuk saya pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya