KUALA TERENGGANU: Universiti College Bestari (UCB) terus melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan di negara ini dengan melahirkan lebih 10,000 graduan berkualiti dan berkemahiran tinggi sejak ditubuhkan pada tahun 1998.
Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Prof. Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, prestasi kecemerlangan UCB terus melonjak dengan kejayaan graduannya dalam memenuhi permintaan pasaran industri di seluruh dunia terutama di negara-negara Timur Tengah.
Menurutnya, tahap kebolehpasaran semua graduan UCB sangat tinggi contohnya dalam Diploma Kejururawatan mencatat pencapaian 99 peratus yang mana graduan bidang itu sentiasa menjadi rebutan hospital-hospital swasta terkemuka di negara ini.
Beliau berkata, UCB menerima pujian dari hospital-hospital kerajaan kerana graduannya berdedikasi dan berdisiplin ketika menjalani latihan industri menyebabkan ramai graduan UCB terutama graduan lelaki mendapat pekerjaan sebagai jururawat profesional termasuk di Timur Tengah.
“Begitu juga dengan graduan dalam bidang yang lain seperti pengurusan perniagaan, ekonomi, kewangan Islam, perakaunan, pengurusan ladang, teknologi maklumat dan kulinari.
“Kesemua mereka sangat cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah sahsiah diri dan mempunyai daya kepemimpinan yang unggul untuk menjadi teknorat dan ilmuan Islam berjaya satu hari nanti.
“Hari ini, UCB sangat berbesar hati untuk meraikan seramai 899 graduan dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-7 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) kerana mereka adalah sebahagian kebanggaan kami,” katanya ketika ditemui di Pra Konvokesyen UCB di sini, baru-baru ini.
Seramai 899 diraikan sempena majlis konvokesyen itu iaitu lapan graduan daripada program ijazah sarjana, ijazah sarjana muda (293), diploma (550) dan 48 daripada program asasi.
Lebih istimewa, majlis pemasyhuran Canselor baharu UCB iaitu mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abas turut diadakan serentak dalam majlis konvokesyen.
Lebih membanggakan UCB kerana dalam majlis konvokesyen kali ini, seramai 74 graduan yang mendapat kelas pertama dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda layak dikecualikan bayaran balik pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Tengku Mahmud berkata, ia adalah satu penanda aras yang membuktikan betapa UCB sangat memberi penekanan kepada kualiti graduannya dengan lebih fokus untuk pembelajaran terbaik dalam setiap sesi syarahan, tutorial, ujian, peperiksaan dan latihan industri agar potensi diri dapat dicungkil dan diketengahkan sepanjang mengikuti pengajian.
Mengulas lanjut, Tengku Mahmud berkata, kecemerlangan UCB semakin diiktiraf di peringkat dunia kerana lapan negara ASEAN telah bersetuju untuk menjadikannya sebagai universiti pertama yang menyediakan tawaran pendidikan terbaik untuk anak-anak yatim dari negara-negara tersebut.
“Ini membuktikan ramai pihak mengkagumi keseriusan UCB dalam membela nasib anak yatim dan golongan miskin untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik melalui pendidikan dan kursus latihan profesional yang ditawarkan.
“Pemilihan UCB itu dicapai dalam Forum Yatim ASEAN pada Ogos lalu dan proses pemilihan pelajar dari negara yang terlibat beserta biasiswa akan diperincikan tidak lama lagi,” katanya.
UCB ialah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama yang berkonsepkan wakaf milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di Bandar Permaisuri, Setiu dengan suasana pembelajaran yang sangat kondusif untuk semua warganya.
Selain kemudahan infrastruktur yang lengkap dan canggih setanding IPTA, setiap pelajarnya juga akan menerima bimbingan berterusan dari pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang pengajian yang ditawarkan UCB.
Orang ramai yang ingin merealisasikan hasrat untuk menaik taraf UCB sebagai universiti wakaf pertama di Malaysia boleh membuat pembelian waqaf tapak tanah melalui beberapa saluran antaranya Pejabat Pos Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Bank Islam. – UTUSAN