Tuntut semua projek penambakan di seluruh negara dibatalkan

Tuntut semua projek penambakan di seluruh negara dibatalkan

KHOO Salma bersama beberapa pemimpin NGO dalam sidang akhbar menolak cadangan projek tambak laut di seluruh negara selepas persidangan Malaysia Tolak Tambak di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Gerakan Malaysia Tolak Tambak menuntut supaya lebih 20 projek penambakan skala besar dan pulau buatan di seluruh negara dibatalkan kerana didakwa memberi kesan negatif terhadap komuniti dan ekosistem semula jadi.
Jurucakap Gerakan Malaysia Tolak Tambak, Khoo Salma berkata, isu itu amat membimbangkan kerana selain memberi kesan negatif kepada komuniti nelayan, projek tersebut me­rosakkan ekosistem laut dan mengeluarkan karbon pada tahap tinggi (carbon intensive).

Beliau mendakwa, hampir semua projek pulau buatan boleh dikatakan kurang telus dari sudut kos dan faedah awam, kerana sifat mega projek yang bertujuan menswastakan kawasan perikanan kepada pemaju hartanah dan spekulator untuk kepentingan peribadi tertentu.

“Kita tegas menentang projek penambakan laut dan pulau buatan di seluruh negara dan menuntut cadangan projek ini dibatalkan.

“Kita juga menuntut pengiktirafan diberikan kepada komuniti pesisiran pantai supaya budaya, ilmu dan warisan negara dapat dipelihara.

“Selain itu, kita juga me­nuntut ekosistem persisiran pantai dan laut dipelihara supaya adaptasi krisis iklim dan keterjaminan makanan dapat direalisasikan,’’ katanya dalam sidang akhbar sempena persidangan Malaysia Tolak Tambak di sini semalam.

Sidang akhbar itu turut dihadiri lebih 60 wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar antaranya Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Khoo Salma berkata, kesan kerja penambakan (tebus guna tanah dan perlombongan pasir) juga membawa kepada kemusnahan kekal ekosistem laut dan kerosakan pesisir pantai.

“Terlalu banyak kerosakan serta kehilangan yang perlu ditanggung atas nama pemba­ngunan dengan projek-projek penambakan di Malaysia.

“Projek pulau buatan juga menafikan hak-hak nelayan untuk mencari rezeki manakala komuniti yang bergantung dengan hasil laut juga akan terkesan dengan pengusiran dan kehilangan punca pendapatan,’’ katanya. Dalam pada itu tambah beliau, rumusan daripada persidangan Malaysia Tolak Tambah tersebut akan diserahkan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat dengan projek penambakan serta Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat perlu me­ngubah sikap dan mengalih­kan pembangunan berben­tuk penambakan laut kepada strategi pembangunan yang lebih mampan dan adil kepada semua rakyat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya