Tujuh pengamal media antara 6,611 graduan UUM - Utusan Malaysia

Tujuh pengamal media antara 6,611 graduan UUM

HAIM Hilman Abdullah (tiga dari kanan) bersama warga UUM dan wakil pelajar memegang poster Program Peskon yang akan diadakan sempena Majlis Konvokesyen UUM ke-34.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai tujuh pengamal media antara 6,611 graduan 2021 yang bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 6 hingga 10 November ini di Dewan Mu’adzam Shah.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kesemua pengamal media tersebut akan menerima ijazah masing-masing pada 7 November yang akan disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Katanya, majlis konvokesyen itu melibatkan sembilan sesi yang terdiri daripada 5,537 graduan Sarjana Muda dan 1,074 graduan pasca siswazah.

“Daripada jumlah graduan pasca siswazah, 227 merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan Diploma Pascasiswazah (124).

“Majlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara dan Indonesia  mencatatkan jumlah teramai iaitu seramai 117 graduan diikuti China (82) dan Pakistan (43),” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Haim Hilman, majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 868 graduan Ijazah Sarjana Muda mendapat Ijazah Kelas Pertama.

“Kebanyakan graduan yang dilahirkan di sini telah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, pencapaian kebolehpasaran graduan UUM telah mencapai 84 peratus sekali gus meletakkan satu standard yang baik kepada majikan.

“Bagi majlis konvokesyen ini juga, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan ICT) kepada Tan Sri Dr. Halim Shafie dan Ijazah Kehormat Sarjana  (Pengurusan Operasi) kepada Datuk Che Azmi Murad,” katanya.

Tambahnya, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM berkenan menyampaikan ijazah kehormat kepada kedua-dua tokoh tersebut pada sesi pertama, 6 November ini.

“Selain itu, seramai 955 graduan dipilih untuk menerima 31 anugerah utama universiti termasuk anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Kecemerlangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sempena majlis ini juga, Pesta Konvokesyen (Peskon) dengan tema #INIUUMKITA: Kenangan Tercipta akan berlangsung dari 3 hingga 11 November mulai pukul 9 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad dan sekitar UUM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya