Treler, lori kontena dan SUV bertembung di KM147, LPT

Treler, lori kontena dan SUV bertembung di KM147, LPT

TRELER membawa bijih timah yang terbabas lalu bertembung dengan lori kontena di KM147 LPT berhampiran persimpangan Chenor di Maran, Pahang pagi tadi. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang lelaki cedera manakala dua lagi selamat dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua kenderaan berat dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.59 pagi berhubung kemalangan tersebut.

Menurutnya, operasi dengan menggunakan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran telah bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera C1-30.

“Sebaik tiba di lokasi anggota bomba mendapati  terdapat tiga buah kenderaan iaitu sebuah treler, lori kontena dan kenderaan MPV terlibat dalam kemalangan. 

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan dikatakan berpunca daripada lori treler yang membawa muatan bijih timah datang dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur  terbabas hingga memasuki ke laluan bertentangan.

“Dipercayai treler berkenaan kemudiannya telah merempuh lori kontena membawa muatan siling kapur dan dibelakangnya terdapat sebuah Honda CRV yang tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Zulfadli berkata, susulan daripada rempuhan yang berlaku itu menyebabkan seorang mangsa cedera manakala dua lagi disahkan selamat.

“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian. Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya