BALING: “Saya cuma bergantung bantuan anak-anak kerana hasil menoreh getah hanya RM10 sehari.
“Itupun jika boleh menoreh tetapi perbelanjaan perubatan, susu khas, lampin pakai buang anak sakit dan kos ulang alik ke hospital lebih RM800 sebulan.”
Demikian rintih warga emas, Bakar Taib, 63, dan pasangannya Hamtiah Chik, 72, untuk menjaga anak mereka, Hasrolnizan, 38, yang terlantar sejak awal tahun setelah disahkan menghidap penyakit kanser otak tahap empat.
Ceritanya, walaupun kadang-kadang keluar menoreh di kebun yang hanya seluas 0.144 hektar, dia tidak boleh memberi tumpuan penuh kepada kerja kerana khuatir dengan masalah anaknya yang berada di rumah bersama isteri yang ada masalah pendengaran.
“Jika keadaan Hasrolnizan agak baik dan cuaca elok, saya berani tinggalkannya untuk pergi menoreh, itupun hanya tiga jam. Saya bimbang jika sesuatu berlaku kepada anak, tiada siapa yang dapat menolongnya apatah lagi isteri tidak dengar.
“Memang saya kini berdepan kesukaran terutama dari segi kewangan, kerana hasil menoreh getah kini tidak seberapa ditambah dengan harga lantai yang rendah dan faktor hujan yang menyebabkan saya tidak boleh keluar menoreh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bukit, Kuala Kuang, Kupang, di sini semalam.
Bakar yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berkata, Hasrolnizan sudah bercerai dengan isterinya dan mempunyai dua anak lelaki masing-masing berusia 16 dan 14 tahun yang kini tinggal di asrama sekolah.
“Sebelum disahkan menghidap kanser otak, dia mengalami sakit kepala yang agak serius sebelum pengsan, matanya menjadi kelabu dan tidak nampak jelas keadaan di sekelilingnya. Badannya menjadi keras, sejuk bahagian kaki dan tangan seolah-olah sedang nazak,” katanya.
Menurutnya, selepas dibawa ke Hospital Daerah Baling, Hasrolnizan terpaksa dirujuk ke Hospital Daerah Kulim dan seterusnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan pembedahan segara di kepalanya.
“Selepas pembedahan, dia dirawat selama dua bulan untuk pemantauan kerana keadaanya agak serius, tahap kesembuhannya hanya 50-50 peratus sahaja ketika itu. Kami bawanya pulang dan berulang-alik ke Pulau Pinang untuk rawatan kimoterapi, namun keadaannya masih tidak berubah melainkan hanya terlantar dan hilang ingatan serta penglihatan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi Bakar melalui talian 011-10502958 atau menyampaikan sumbangan terus ke akaun Bank Rakyat miliknya, 22-004-141923-4. – UTUSAN