PETALING JAYA: Pelakon, Yasmin Hani menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dia kini tinggal serumah dengan teman lelaki yang juga seorang pelakon, Alif Hadi.
Ibu kepada dua anak itu berkata, Alif sering datang untuk menjamu selera di kediamannya yang turut didiami anak-anak dan ibunya.
“Dia selalu datang ke rumah untuk makan. Bila ada dakwaan sebegitu, saya sedih betapa kolotnya manusia. Bila teman lelaki datang rumah, difitnahnya tinggal serumah. Mak saya nak ‘campak’ mana? Saya tahu bawa diri, mana betul dan salah.
“Saya jenis tidak ambil peduli, cuma risau dengan anak-anak bila mereka besar nanti. Tetapi bila difikirkan balik, anak-anak tahu perkara sebenar.
“Ahli keluarga saya yang lain ada di rumah itu. Akhirnya, saya biarkan sahaja.
Takkan saya nak tunjuk mak sentiasa ada, nanti apa pula orang cakap. Lantaklah. Saya jaga hal sendiri, fokus kegembiraan dan kewarasan,” katanya.
Yasmin ditemui pada majlis pelancaran program masakan baharu, Dapur Tempur yang bakal bersiaran bermula 3 November ini di TV9.
Yasmin juga menambah, dia dan Alif belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat dan tidak mahu terburu-buru dalam soal itu.
“Mahu kahwin kena ikut waktu dan diri juga. Kita boleh merancang, tetapi Tuhan tentukan. Kami belum ada perancangan serius ke arah itu, lebih selesa berkawan dahulu.
“Tetapi, anak-anak saya memang sayangkan dia. Apa-apa hal, cari dia dulu. Bila tiba waktunya, saya akan umumkan. Saya mahu pastikan Alif betul-betul bersedia sebab saya ada cara sendiri menguruskan keluarga.
“Anak-anak pun masih ada ayah mereka. Ini adalah proses yang panjang sebenarnya. Bukan sesuka hati suruh orang cepat-cepat kahwin,” jelasnya.