SIK: Tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang melakukan perlombongan haram nadir bumi di Sik kerana aktiviti itu merugikan semua pihak termasuk rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta pihak berkuasa segera menyiasat aktiviti haram mencuri bahan mineral nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini.
“Kalau mereka keluarkan macam itu (secara haram) tentulah merugikan. Kegiatan haram ini, apa pun kegiatannya ia semua merugikan, (sepatutnya) kena mohonlah.
“Jadi untuk pencarian atau galian secara tidak sah saya mohon agar dikenakan tindakan paling keras, paling tegas berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan negara mungkin sudah kerugian mencecah angka berbilion ringgit apabila hasil REE di hutan simpan terbabit dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.
Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan adalah sumber semula jadi bernilai tinggi. Ia boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.
Muhammad Sanusi sebelum ini turut mengesahkan lokasi dipercayai tapak perlombongan nadir bumi itu diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.
Serbuan tersebut membawa kepada rampasan 185 guni bahan mineral tersebut dalam sebuah lori yang diambil secara haram di hutan terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mineral yang dirampas itu merupakan REE atau bahan lain kerana proses kajian dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan.
Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan kegiatan mencuri nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang dalam daerah Sik yang boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepad negara.
Aktiviti itu dikatakan telah berlaku sejak dua tahun lalu.
Mineral tanpa radioaktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi.
Mineral tersebut boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.
Tinjauan Utusan Malaysia di laluan menuju ke lokasi aktiviti haram itu, menemukan ada kenderaan berat yang bertutup keluar dan masuk di kawasan itu dengan ada kawasan tertentu diletakkan palang besi.
Kenderaan itu disyaki memunggah hasil nadir bumi keluar dari hutan terbabit sebelum dihantar ke pelabuhan dan kemudian dieksport ke luar negara.
Kegiatan mencuri khazanah tersebut tertakluk di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengambil hasil hutan dari Hutan Simpanan Kekal atau tanah kerajaan tanpa lesen adalah satu kesalahan.
Beberapa penduduk di kampung berdekatan yang ditemui turut meluahkan rasa curiga dengan aktiviti lori besar termasuk bersaiz 10 tan yang kerap keluar masuk seperti dalam seminggu mungkin dua kali.
Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam jawapannya di Dewan Rakyat berkata, operasi menumpaskan kegiatan sindiket yang melakukan perlombongan haram REE itu menyelamatkan negara daripada kemungkinan kerugian berbilion ringgit.
Katanya, kegiatan sindiket itu berjaya dipatahkan menerusi penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS).
Katanya, hasil operasi yang dijalankan, pihak berkuasa menahan beberapa warga asing dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan haram berkenaan. – UTUSAN