PETALING JAYA: Pelakon, pengarah dan penerbit, Sheila Rusly mengakui sering berkongsi rahsia serta tips untuk kekal bahagia dalam menjalani kehidupan berumah tangga kepada menantunya yang juga seorang pelakon, Elisya Sandha.
Jelas Sheila, tiga perkara utama yang harus sentiasa diambil peduli adalah menjaga hati suami, menjaga perut dengan memasak dan hubungan batin suami isteri.
“Jaga hati suami, jangan buat perkara yang dia tidak suka. Rajin-rajin memasak untuk ikat perut suami dan juga menjaga hubungan batin.
“Sekarang ada yang terlalu fokus kepada hubungan batin. Nanti bila dah tak sedap, cari lain. Tiga perkara itu sahaja,” katanya.
Sheila ditemui pada majlis pelancaran program masakan terbaharu Dapur Tempur yang bakal bersiaran bermula 3 November ini, setiap Khamis pukul 8.30 malam di TV9.
Isteri kepada pengarah, Jinggo itu berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan menantu yang sering membantunya di dapur dan sentiasa mencuba menu baharu untuk suaminya, Uzair Haqimy.
“Bila saya di dapur, Elisya akan tanya sedang masak apa. Dia banyak tanya macam mana nak sediakan masakan itu. Dulu dia siap buat nota, tetapi sekarang sudah pandai.
“Dia banyak belajar sepanjang setahun menjadi menantu ini. Sekarang, sekali atau dua kali cuba, terus menjadi masakan itu,” katanya.