Tiga lorong baharu atasi kesesakan Persiaran Mokhtar Dahari - Utusan Malaysia

Tiga lorong baharu atasi kesesakan Persiaran Mokhtar Dahari

IZHAM Hashim meninjau kesesakan teruk lalu lintas di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menambah tiga lorong baharu kenderaan bagi mengatasi kesesakan teruk laluan Persiaran Mokhtar Dahari di sini, sejak dua minggu lalu.

Dua fasa pelebaran jalan sedia ada itu dijangka melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM35 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, JKR akan membuat laporan teknikal secara terperinci mengenai projek penambahan lorong tersebut.

Kata beliau, kos peruntukan projek itu bakal diajukan pihaknya kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

“Fasa pertama yang perlu disegerakan meliputi tambahan satu lorong di laluan menghala ke Puncak Alam. Kita menjangkakan projek pertama akan dilaksanakan awal tahun depan sebelum diteruskan dengan fasa kedua,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, petang semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak.

Kesesakan lebih tiga kilometer itu berpunca daripada kekurangan lorong kenderaan yang tidak mampu menampung aliran tinggi trafik di laluan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terutama di Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding hanya lima minit sebelum ini.

Tambah Izham, laluan itu merupakan jalan rizab kerajaan dan boleh memuatkan enam lorong secara keseluruhannya.

“Laluan berbukit selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ketika ini hanya mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua arah. Bagi jangka masa pendek, satu lorong sejauh 800 meter akan dibina terlebih dulu sebelum disambung dengan dua lorong lain,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau tidak menyalahkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Justeru, saya berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan projek pelebaran jalan itu demi keselesaan penduduk setempat. Saya meminta pengguna supaya dapat bersabar dan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab untuk membina lorong baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya