KOTA KINABALU: Parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) masing-masing tidak berpuas hati dengan agihan kerusi namun, kesepakatan berjaya dicapai selepas perbincangan yang panjang.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, parti-parti komponen dalam PH memang tidak puas hati namun, selepas melalui proses perbincangan yang panjang maka, semua parti menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.
“Saya ingat tiada yang puas hati, parti-parti komponen dalam PH tiada yang berpuas hati termasuk UPKO dan kita telah meminta beberapa kerusi.
“Sebenarnya dalam UPKO, kita sangat praktikal dengan kerusi yang kita tandingi, kita bertanding untuk menang bukan untuk ramaikan calon.
“Namun, kita akur setelah dibuat keputusan, kita akan terus kerja dalam satu pasukan di bawah PH bagi memastikan semua calon-calon PH menang dalam pilihan raya ini,” katanya semasa mengumumkan calon UPKO-PH pada PRU-15 di Ibu Pejabat UPKO di Penampang hari ini.
Menurut beliau, semua parti saling bertolak ansur dan proses perbincangan yang dilakukan mengambil masa yang panjang bagi mengambil kira semua perkara yang harus diberi pertimbangan.
“Inilah sebaik-baik mungkin keputusan yang telah kita capai kerana apa yang penting pada akhirnya PH menang dalam semua kerusi yang ditandingi,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, Tuaran merupakan kawasan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim namun, itu bukan alasan untuk beliau rasa gentar dalam mempertahankan kerusi tersebut.
Pada masa ini, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tuaran iaitu Sulaman, Tamparuli dan Kiulu adalah milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) manakala, satu kerusi iaitu DUN Pantai Dalit pula milik Barisan Nasional.
Pada PRU-14, semasa bertanding di bawah tiket Barisan Nasional, Madius menang kerusi Parlimen Tuaran dengan majoriti 7,624 menewaskan calon PKR, Chrisnadia Sinam dalam persaingan lima penjuru.- UTUSAN