KUALA TERENGGANU : Pelancong tidak perlu membatalkan hasrat bercuti ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Musim Monsun Timur Laut ini ekoran khabar angin yang tersebar dalam media sosial mengenai kemungkinan Empangan Tasik Kenyir pecah dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pelancong juga tidak perlu risau keselamatan mereka kerana dakwaan tersebut tidak berasas.
Katanya, setakat ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemeriksaan rapi dan memberi jaminan bahawa empangan itu kukuh dan selamat.
“TNB maklumkan ia selamat, masih seperti biasa tanpa ada sebarang rekahan walaupun rekahan yang sangat kecil,” katanya.
Media sosial dibanjiri luahan kerisauan orang ramai mengenai nasib keluarga dan sahabat handai mereka yang berada di Hulu Terengganu kerana ia adalah daerah yang paling teruk terjejas sekiranya empangan buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu pecah.
Pada masa sama, pengusaha rumah bot di tasik itu juga mendakwa terdapat pelancong membatalkan tempahan perkhidmatan itu kerana bimbang terhadap keselamatan mereka berikutan khabar angin tersebut.
Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menegaskan, program Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan baru-baru ini bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana ia juga pernah dilakukan di beberapa empangan yang lain seperti Empangan Bakun, Sarawak dan Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands, Pahang.
Nadma memaklumkan latih amal yang lain seperti tsunami juga pernah dianjurkan Kedah, Pulau Pinang dan Sabah bagi memastikan kesiapsiagaan agensi serta masyarakat berada di tahap tertinggi.
Sehubungan itu, Ariffin menasihatkan orang ramai tidak menularkan maklumat yang tidak pasti sehingga mencetuskan kebimbangan melampau dan memberi kesan kepada pelancong, sedangkan ia tidak benar. – UTUSAN