PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia terutama peminat astronomi sekali lagi mungkin ‘kempunan’ menyaksikan kejadian gerhana matahari separa, Selasa ini.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran infografik dalam laman sosial rasminya, fenomena itu hanya boleh dilihat cukup jelas di sebahagian besar benua Eropah.
“Ia juga cuma dapat disaksikan mereka yang berada di rantau Afrika Utara dan Asia Barat manakala di bahagian tengah Rusia, liputan gerhana ini adalah 80 peratus sahaja,” katanya.
Kejadian itu namun masih lagi boleh ditonton secara penstriman langsung melalui pelbagai laman astronomi luar negara mulai pukul 4.58 petang sehingga 9.02 malam waktu Malaysia.
Sehubungan itu, berdasarkan garis panduan ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, tiada solat sunat khusuf yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada tempoh waktu tersebut.
Uniknya tambah Mysa, fenomena alamiah berkenaan berlaku ketika menjelang proses pembentukan bulan baharu pada pukul 6.48 petang atau Rabiulakhir mengikut takwim Islam.
Insiden gerhana tersebut juga akan terjadi selang tiga hari selepas langit seluruh negara meriah ‘dihujani’ dengan kemuncak pancuran hujan meteor Orionid, lewat malam tadi.
Kali terakhir kejadian gerhana matahari separa dapat dilihat jelas di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 lalu manakala siri yang berikutnya pula diramalkan berlaku nanti pada 20 April 2023.
Bagaimanapun, portal astronomi popular tempatan, Falak Online melaporkan, Malaysia akan dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada pukul 6.59 petang 8 November ini.
Malahan, penduduk di rantau Asia Pasifik, Australia dan sebahagian besar benua Amerika turut berpeluang melihat kejadian itu serentak planet Uranus berada amat dekat dengan bumi. – UTUSAN