KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen atau kebenaran untuk sebarang aktiviti pelombongan emas di dalam kawasan sungai sehingga kini termasuk Sungai Wais, Gua Musang sepertimana didakwa menerusi laman sosial Facebook Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan – JKOAK.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, sebarang aktiviti perlombongan yang melanggar peraturan sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa di jajahan masing-masing dan bukan sekadar disuarakan dalam laman sosial seperti Facebook.
Katanya, kerajaan negeri atau jabatan dan agensi berkaitan tidak dapat membuat tindakan jika tiada sebarang laporan rasmi dibuat berhubung masalah yang berlaku.
“Sepatutnya kena buat laporan sama ada kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekiranya betul berlaku aktiviti melombong emas dalam sungai agar tindakan dapat diambil.
“Sekadar bersuara dan menulis di Facebook tidak memberi kesan. Kena buat laporan melalui saluran yang betul,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Pas Kawasan Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menjelaskan, tanpa aduan rasmi kepada jabatan atau agensi berkaitan, kerajaan negeri juga tidak mendapat maklumat tepat mengenai masalah yang berlaku.
“Tanpa sebarang laporan kita juga tidak tahu betul atau tidak isu yang disuarakan di Facebook itu. Setakat yang saya tahu kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen atau kebenaran untuk aktiviti melombong emas dalam sungai.
“Saya harap lain kali masyarakat Orang Asli buat laporan melalui saluran yang betul terlebih dahulu. Jangan terlalu suka menulis di lama Facebook tanpa mempunyai maklumat jelas,” katanya.
Pada 12 Oktober lalu, satu hantaran yang mendakwa Sungai Wias di Gua Musang tercemar akibat aktiviti melombong emas di kawasan ulu sungai berkenaan dimuat naik ke laman Facebook Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan – JKOAK.
Hantaran tersebut mendakwa, seorang penduduk Kampung Kuala Wias memaklumkan mengalami kegatalan serius apabila mandi di sungai tersebut yang dikatakan satu-satunya sumber air bagi kampung itu.
Hantaran tersebut turut mendakwa tauke lombong terbabit mendapat kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja melombong sehingga ke kawasan tapak cadangan pembinaan Empangan Sungai Nenggiri. – UTUSAN