RAUB: Penyandang Ahli Parlimen Raub dari Pakatan Harapan (PH), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji tidak gentar dan bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja calon khususnya daripada Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Tengku Zulpuri berkata, Parlimen Raub diibaratkan sebagai permata kepada parti DAP. diwakilinya kerana dapat menguasai kawasan yang mana pengundi Melayu dan Cina hampir seimbang.
Naib Pengerusi DAP Pahang itu mengakui peluang mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada PRU-15, 19 November ini cerah berikutan sokongan padu masyarakat Cina dan peningkatan sokongan kaum Melayu serta India.
“Saya bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Raub buat penggal kedua bagaimanapun keputusan bergantung kepada pucuk pimpinan DAP negeri dan Pusat.
“Sebagai ahli DAP yang setia kepada parti sejak tahun 2000, saya sentiasa akur dengan percaturan kepimpinan tertinggi DAP untuk meletakkan saya sebagai calon kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya di sini semalam.
Pada PRU-14 lalu, Tengku Zulpuri menang dengan mendapat 20,659 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chew Mei Fun yang mendapat 17,500 undi dengan majoriti undi sebanyak 3,159.
Difahamkan, pada PRU-15 ini, terdapat dua calon UMNO bakal dipertaruhkan bagi merampas semula Parlimen Raub daripada DAP yang menguasai kerusi berkenaan sejak PRU-13.
Calon terbabit, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Moin dan Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia(AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar.
Tengku Zulpuri dalam pada itu berkata, pada PRU-15 ini, gabungan parti politik PH terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bergerak senada bagi menguasai dan merampas bukan sahaja Putrajaya malah Pahang.
Beliau meminta pengundi memberikan sokongan padu kepada calon ditonjolkan PH bagi mewakili Parlimen dan DUN di negeri ini.
“Tolak calon BN dan Perikatan Nasional (PN) yang rasuah dan mementingkan diri. Hanya calon PH menjadi sandaran dan harapan pengundi untuk merampas Pahang dan Putrajaya dengan misi negara bebas rasuah,” katanya. –UTUSAN