KUALA LANGAT: Kepemimpinan tertinggi UMNO sendiri masih belum dapat mengesahkan tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikhabarkan semakin hampir.
Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini tidak dapat dipastikan agendanya walaupun spekulasi bertiup kencang ia mengenai persediaan PRU-15.
“Kita pun masih menunggu (tarikh pembubaran Parlimen). Masih belum ‘clear’. Bila dah ‘clear’ baru kita komen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Karnival Mini Aspirasi Keluarga Malaysia di Kolej MARA Banting Bukit Changgang hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan semalam, UMNO akan mengadakan mesyuarat khas MT hari ini sekali gus membayangkan pembubaran Parlimen bakal berlaku dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan seorang anggota MT kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai Bajet 2023 beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi penambahan bajet untuk internet desa dan internet kelas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Boleh dikatakan bajet untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar ada peningkatan jumlah dan ada yang luar biasa.
“Selain peningkatan untuk internet desa dan kelas Kemas. Bajet untuk prasarana dan pendidikan terus diberikan,”katanya. –UTUSAN