PONTAN: Mahu mendapat keuntungan lumayan, seorang warga emas menjadi mangsa penipuan tiga lelaki yang menawarkan sebidang tanah bernilai RM1.2 juta di ibu negara.
Tanah yang diidamkan tidak diperoleh, malah duit deposit sebanyak RM125,000 pula lesap.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, warga emas berusia 80 tahun itu didatangi tiga suspek pada 28 September lalu di kediamannya di Benut, dekat sini.
Pada mulanya, tiga lelaki berkenaan kononnya ingin menyewa tanah milik mangsa untuk simpanan kontena dengan kadar sewa RM1,500 sebulan.
“Dalam pertemuan itu, mangsa ditawarkan membeli sebidang tanah dengan harga RM400,000 di Kuala Lumpur sedangkan nilai pasaran dikatakan mencecah RM1.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa bersetuju membeli tanah berkenaan dengan membuat bayaran deposit sebanyak RM125,000 menerusi tiga kali pemindahan bank.
“Mangsa dijanjikan menerima geran apabila selesai membuat pembayaran pendahuluan seperti yang dinyatakan suspek,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa sehingga kini belum menerima geran yang dijanjikan dan ketiga-tiga suspek gagal dihubungi.
“Berasa dutipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pontian semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN