Takkan pilihan raya dua tahun sekali-Masidi Manjun

Takkan pilihan raya dua tahun sekali-Masidi Manjun

PUSAT PENTADBIRAN NEGERI SABAHdi Kota Kinabalu-UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan dibubarkan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) baharu sahaja diadakan dua tahun lalu.

Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Ketua Menteri telah menyatakan DUN Sabah tidak akan dibubarkan susulan pembubaran Parlimen yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

“Kita baru mengadakan pilihan raya dua tahun lepas, tidakkan kita adakan pilihan raya setiap dua tahun. Sebelum itu pada 2018 (PRU14) dan disusuli pada 2020.

“Saya ingat kerja kerajaan bukan untuk mengadakan pilihan raya tapi, untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan itu memerlukan masa yang mencukupi untuk mentadbir negeri iaitu selama lima tahun,” katanya selepas pelancaran projek perumahan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Residensi Impiana hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kemungkinan pembubaran DUN Sabah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Masidi, yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, pada masa ini 90 peratus isu antara GRS dan Barisan Nasional (BN) telah selesai dibincangkan.

Malah, sejak daripada mula GRS-BN berusaha untuk menonjolkan calon bersama yang boleh membawa kemenangan pada PRU15.

“Soalnya bukan kerusi itu milik GRS atau BN, soalnya calon itu boleh menang atau tidak,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua pemimpin Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan, Sabah tidak mahu terlibat dengan apa juga pergolakan politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

“Kita di Sabah mahu fokus kepada pembangunan, itu sebabnya kita cuba mengelakkan pertembungan politik remeh yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

“GRS sendiri telah menyatakan kesediaan untuk kerjasama dan kebetulan saya adalah wakil GRS yang berunding dengan BN bagi menentukan agihan kerusi secara adil dan saksama.

“Setakat ini, hampir 90 peratus semuya isu telah pun kita bereskan,” katanya.

Sabah mengadakan PRN Ke-16 pada September 2020 setelah kerajaan pimpinan Warisan Plus tumbang dan kepimpinan negeri diambil alih oleh kerajaan GRS yang menenangi 38 daripada 73 kerusi DUN. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya