TUMPAT: “Syukur doa saya supaya Azie selamat pulang dimakbulkan.”
Itu reaksi Zahasnah Mohd. Zain, 61, apabila mendapat tahu anaknya, Rosnazirah Mohd. Naim, 36, yang menjadi mangsa culik dan dilarikan ke Thailand pada 13 September lalu berjaya diselamatkan oleh pihak polis.
Menurutnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal, di sini semalam, dia tidak putus-putus mendoakan keselamatan anaknya yang dikenali sebagai Azie itu dan dapat dibawa pulang.
Sementara itu kakaknya yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga tidak sabar menunggu kepulangan Azie selepas dimaklumkan dia sudah berada di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebaik sahaja menerima perkhabaran itu, raut wajah ibunya yang sebelum ini diselubungi kebimbangan kembali tenang sebagaimana sebelum ini.
“Alhamdulillah, berkat solat hajat yang tidak putus-putus dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, Azie ditemukan dalam keadaan selamat.
“Sepanjang lebih dua minggu Azie hilang, kerinduan kami terhadapnya tidak terhitung beratnya. Kalau dapat berjumpa dengan Azie kami sekeluarga mahu memeluknya bagi mengubat kerinduan itu,” katanya.
Wanita berkenaan memberitahu, awalnya mereka sekeluarga ragu-ragu dengan berita yang diterima malam tadi kerana belum mendapat pengesahan daripada pihak polis.
Katanya, selepas salah seorang adiknya memberitahu ibu dan ayah bahawa Azie ditemukan dalam keadaan selamat dan sudah berada di dalam negara baharu mereka sekeluarga tenang.
“Kami bersyukur sangat-sangat dan merakamkan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya membawa pulang Azie dengan selamat,” ujarnya.
Sementara itu di Petaling Jaya, ejen jualan kosmetik itu kini berada di bawah perlindungan Bukit Aman dan masih berada dalam keadaan trauma.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, mangsa diselamatkan oleh pihak berkuasa Thailand sebelum diletakkan di depoh Imigresen, Thailand bagi proses dokumentasi.
Kata sumber itu, dalam prosedur mana-mana negara, individu yang diselamatkan pihak berkuasa terlibat akan dibawa ke depoh Imigresen bagi proses dokumentasi memandangkan mereka ditemukan tanpa sebarang dokumen perjalanan diri.
“Sebaik sahaja proses berkenaan selesai dan diyakini individu yang diselamatkan adalah individu yang betul, baru pihak berkuasa di sana dengan bantuan pihak kedutaan Malaysia serah kepada pihak berkuasa negara ini bagi tindakan lanjut,” katanya.
Mengenai lokasi terkini ejen kosmetik berkenaan, sumber memberitahu, mangsa kini dibawa ke Kuala Lumpur bagi menerima rawatan lanjut dan melengkapkan dokumentasi berkaitan kes itu sebelum diserahkan kepada pihak keluarga. – UTUSAN