PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai salah sebuah universiti awam (UA) yang menjadi perintis kepada Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk kemasukan pelajar baharu sesi 2022/2023.
UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, program SULUNG adalah cetusan idea Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bagi membantu individu pertama dalam keluarga daripada golongan B40.
Katanya, program tersebut dapat memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
“Selari dengan semangat #KPTPrihatin, biarpun menghadapi masalah kewangan, pelajar B40 yang cemerlang tetap dapat meneruskan pengajian, sekali gus dapat memberi motivasi kepada keluarga dan komuniti setempat.
“Pelajar yang terpilih mendapat laluan khusus kemasukan pelajar B40 ke UA dan turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehingga mendapat pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor baru-baru ini menyerahkan surat tawaran kepada salah seorang penerima SULUNG, iaitu Mursyazliana Bulkia di rumahnya di Kampung Lembising, Sabah.
Kenyataan itu memaklumkan, Kasim turut menyampaikan bantuan wang tunai RM100 dan bakul makanan kepada pelajar.
“Bantuan yang diberikan tersebut dapat memudahkan urusan pelajar pada peringkat awal menjalani pengajian di universiti berkenaan,” katanya. – UTUSAN