Sukarelawan usaha gigih pastikan Pulau Besar bebas khurafat - Utusan Malaysia

Sukarelawan usaha gigih pastikan Pulau Besar bebas khurafat

JETI Anjung Batu di Merlimau, Melaka menjadi pintu masuk pelancong yang mahu ke Pulau Besar (belakang). – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sikap segelintir pengunjung yang melakukan perbuatan syirik dan amalan khurafat di Pulau Besar di sini, hanya menjejaskan nama baik dan memberi persepsi salah terhadap kawasan pelancongan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Anjung Batu dekat sini mendapati, para sukarelawan yang menguruskan kemasukan pengunjung ke pulau itu berusaha sebaik mungkin untuk mencegah amalan berkenaan daripada dilakukan.

Sukarelawan, Shamsuri Mohd. Norman, 48, berkata, terdapat tiga perkara yang tidak seharusnya dilakukan ketika datang ke Pulau Besar iaitu membawa keluar harta karun, menilik nombor ekor dan melakukan perbuatan khurafat termasuk rawatan secara batin.

SHAMSURI MOHD. NORMAN

“Orang yang cuba untuk mela­kukan perbuatan syirik sentiasa ada. Mereka ini kelihatan sama seperti pelancong yang lain, cuma niat sahaja yang berbeza.

“Jika mereka ada hasrat untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, saya nasihatkan agar berhenti dan jangan pergi ke sana. Pengunjung perlu menjaga adab dan hormati sejarahnya semasa berada di sana.

“Pulau Besar bukan pulau syirik, hanya manusia yang datang membawa perkara syirik. Jika hendak dapatkan rawatan sekali pun, masih banyak pengamal perubatan Islam ada di luar sana untuk membantu,” katanya yang telah 26 tahun berkhidmat sebagai sukarelawan di jeti berkenaaan.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang wanita yang sesat hampir dua jam di Pulau Besar ketika ingin melakukan rawatan secara batin.

Ketika ditemui pasukan penyelamat kira-kira pukul 10.45 malam, mangsa berusia 37 tahun itu dalam keadaan lesu ditemukan di kawasan berbatu penjuru pulau yang terletak 1.5 kilometer dari Jeti Utama Pulau Besar.

MUHAMMAD SYAZWI ANUAR

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, Muhammad Syazwi Anuar, 27, berkata, sebagai rakyat Melaka, dia berasa kecewa kerana Pulau Besar lebih dikenali dengan kisah mistik dan aktiviti khurafat berban­ding keindahan serta sejarahnya.

Tegasnya, tanggapan sedemikian hanya mencalarkan imej pelancongan Melaka.

“Ada pelancong yang datang lebih berminat mengenai cerita perbuatan syirik di pulau tersebut. Ini menunjukkan betapa negatifnya persepsi orang ramai terhadap pulau ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya